Maahad Tahfiz At-Ta’zim (MTAT) telah ditubuhkan pada tahun 2016. Sebelum tahun 2021 tahfiz ini dikenali dengan nama Akademi Tahfiz Teknologi Takzim. Pada awal penubuhannya, tahfiz ini mempunyai empat orang assatizah, dua orang staff sokongan dan 20 orang pelajar. Pada mulanya beroperasi di Balai Islam Kampung Paya Dalam sebagai kelas-kelas pengajian dan rumah-rumah sewa sekitar Kampung Paya Dalam sebagai tempat tinggal para pelajar.
Seiring peredaran masa, Maahad Tahfiz kini (Januari 2025) mempunyai 45 orang pelajar lelaki dan 37 orang pelajar perempuan yang berumur dari 9 hingga 19 tahun. Assatizah dan staff sokongan pula kini adalah seramai 20 orang. Pelajar-pelajar ini mengikuti kurikulum hafazan al-Quran 30 juzuk selain didedahkan dengan pengajian akademik Kementerian Pendidikan Malaysia, kelas-kelas pengajian fardhu ain dan kelas-kelas Kemahiran Kelas-kelas Kemahiran di MTAT diadakan dengan Kolej Komuniti Segamat Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat 2 (Batu Anam), Kemas Sekijang dan Pejabat Kemas Segamat.
Pelajar-pelajar calon SPM juga mengikuti kelas-kelas intervensi anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mata pelajaran teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik dan Sains sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia. Kelas-kelas akademik di MTAT terdiri daripada Pendidikan sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas. Pengajian al-Quran terdiri daripada tiga tahap iaitu kelas Qiraati, kelas nazirah dan kelas hafazan. Sehingga Oktober 2024 Maahad Tahfiz At-Ta’zim telah melahirkan seramai 13 orang al hafiz dan 4 orang al hafizah dan ramai pelajar cemerlang SPM yang kini sedang menuntut di IPT/IPTA seluruh negara.
InsyaAllah Maahad Tahfiz At-Ta’zim akan terus berkembang maju seiring dengan permintaan masyarakat terhadap pendidikan tahfiz secara holistic – Pendidikan al-Quran, kecemerlangan akademik, dan penguasaan kemahiran (TVET) di samping perkembangan potensi diri di bawah satu bumbung.